Sunday, November 16, 2008

sisipan akhbar kosmo

Beli rokok secara online? -
Harga yang ditawarkan lebih murah dan perlu dipantau


BIARPUN kesannya kepada kesihatan amat buruk, perniagaan rokok dianggap antara bisnes paling menguntungkan di seluruh dunia. - Gambar hiasan


NAIK turun harga rokok sejak kebelakangan ini nampaknya mengocak, bukan saja pendapatan syarikat pengeluar, tetapi juga kutipan cukai negara.

Sama ada menguntungkan atau merugikan salah satu pihak, banyak mata terbuka dengan luas dan menunjukkan keprihatinan yang tinggi akan perkembangannya. Hal ini terbukti apabila Kosmo! Ahad menemukan pasaran rokok yang dijual secara dalam talian.

Sememangnya perniagaan di alam maya ini membuktikan budaya celik teknologi maklumat. Namun, apabila penjualan melibatkan produk yang selama ini cuba dikekang peningkatan angka penggunanya, ia sewajarnya mengundang perhatian.

Bersungguh-sungguh kementerian berkaitan berkempen untuk menghentikan budaya merokok. Walaupun tidak berkesan sebagaimana yang diharapkan, namun siapa dapat menjangka cabaran baru yang mendatang ini.

Membelek laman-laman ini, rata-rata ia bermula seawal tahun 2000 lagi. Bagaimanapun ia tidak sepatutnya terlepas daripada pemantauan pihak berkuasa yang sememangnya lebih menumpukan kepada pasaran konvensional.

Didapati, lebih daripada 500 laman sesawang yang menjalankan urusan jual beli rokok. Ada yang menyatakan secara terbuka bahawa perkhidmatan yang ditawarkan mendapat kelulusan kerajaan negara dan harga yang dikenakan termasuk duti eksais. Walhal majoriti menyatakan rokok yang dijual adalah terkecuali daripada cukai.

Dengan kira-kira 60 jenama rokok dari seluruh dunia, sebagaimana dijangkakan pasaran tanpa sempadan mereka menular ke seluruh dunia.

Laman www.cheap-24h.com, contohnya, membuka pasaran mereka dari Amerika Syarikat (AS) sehingga ke lebih 200 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Urusan pula dijalankan menggunakan mata wang dolar Amerika dan melalui transaksi kad kredit utama.

Harganya pula lebih rendah berbanding rokok yang dijual di pasaran tempatan. Sebagai contoh, Marlboro Filter Ciggarete kotak 20 batang, dijual pada harga RM4.50 berbanding RM9 di Malaysia. Satu karton pek 20 batang ditawarkan pada harga AS$14.90 atau RM53.90.

Seperti perniagaan dalam talian yang lain, barangan yang dipesan atau dibeli akan sampai ke depan pintu rumah pembeli, membuatkan urus niaga ini lebih menarik perhatian.

Kelebihan lain perniagaan jenis ini ialah kos penghantaran sifar, tawaran harga yang boleh mencecah dua kali ganda lebih murah berbanding harga runcit di kedai, dan pembeli tidak akan kecewa dengan situasi jenama kegemaran mereka sudah kehabisan stok. Selain itu, pembeli boleh mencuba jenama rokok yang tidak ada dalam pasaran tempatan.

Sebuah buku tulisan Jack Goldsmith dan Tim Wu yang diterbitkan oleh Oxford University Press yang bertajuk Who Controls the Internet?: Illusions of Borderless World, menyentuh perkembangan isu ini dengan menyeluruh.

Mereka membentangkan bahawa sehingga 2004, industri rokok dalam talian bernilai AS$1 bilion atau 3.1 peratus daripada volum industri AS. Namun, menjelang 2005, Biro Persekutuan Alkohol, Tembakau dan Senjata (Firearms), bersama-sama beberapa negeri, membuat keputusan untuk membasmi jualan dalam talian itu.

Tidak mengenakan tindakan terhadap penjual, sebaliknya pakatan itu ‘memburu’ syarikat kad kredit utama. Biro berkenaan mengeluarkan arahan kepada Visa, MasterCard dan AmEx agar berhenti menerima tempahan rokok dalam talian atau menerima akibatnya.

Adakah gaya hidup ini bakal menjadi pilihan orang ramai di Malaysia kelak?












KENAIKAN harga rokok di pasaran nyata tidak memberi impak kepada pengguna tegar. - Gambar hiasan


Bakal cetus fenomena tidak sihat

BAHAGIAN Penguatkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui mereka tidak mendapat sebarang laporan tentang penjualan rokok dalam talian di Malaysia.

Ketua Eksekutif, Pertubuhan Pengilang-pengilang Tembakau Malaysia (CMTM), Shaik Abbas Ibrahim, bagaimanapun berkata, jika benar wujud pengusaha laman sesawang berkenaan, mereka masih perlu mematuhi garis panduan perniagaan Malaysia biarpun menjalankan urus niaga itu dari negara luar.

“Selagi mereka mematuhi undang-undang Malaysia, kami (pihak bertanggungjawab) tidak mempunyai masalah dengan aktiviti mereka. Selagi mereka tidak menjual rokok kepada remaja bawah had umur yang ditetapkan (18 tahun), meletakkan label amaran kesihatan bergambar pada bungkusan rokok, mencetak maklumat kesihatan tentang bahaya kandungan rokok, dan sebagainya, mereka bebas untuk berniaga,” ujarnya.

Namun, Shaik Abbas kemudiannya mempersoalkan siapa yang dapat menghalang jika anak-anak menggunakan kad kredit ibu bapa mereka.

Dalam pada itu, sudah masanya kita memandang masalah rokok ini dari perspektif lain pula dalam cara mengawalnya daripada menjadi bencana kepada negara.

KAEDAH penjualan perlu diberi perhatian agar langkah pencegahan
dapat dijalankan secara telus.


Menurut pensyarah sosiologi dan antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Rohaiza Abd. Rokis, kenaikkan harga serta duit itu hanyalah sebahagian masalah ‘perang harga’.

“Aspek cara penjualan juga perlu diambil kira dan penggunaan Internet turut menyumbang kepada peningkatan pembelian rokok dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Ujarnya lagi, isu penjualan rokok menerusi Internet bakal mencetuskan lagi fenomena tidak sihat terhadap masyarakat khususnya di zaman celik IT ini.

Walaupun penjualan melalui Internet memberi pulangan yang cukup bagus seperti di Eropah dan Amerika Syarikat namun ia melanggar ‘etika sosial’ perniagaan di Malaysia.

“Cara penjualan rokok ini seharusnya juga dipantau oleh pihak berkuasa kerana melalui cara tersebut, keuntungan yang didapati oleh pengeluar akan berlipat ganda dengan hanya melalui satu butang,” tegasnya.

Jual rokok di Internet wajar

ISU penjualan rokok menerusi laman sesawang turut memberi pelbagai reaksi oleh golongan pembeli dan penjual secara runcitan.

Menurut seorang penuntut di salah sebuah universiti tempatan, pembelian secara online hanya memberi keuntungan berganda kepada pengeluar.

Ujar Haris Abdullah, 30, isu kenaikan duti tidak timbul kerana pengguna tetap membelinya walaupun paras harga sekotak rokok jatuh atau naik.

“Kebanyakan peniaga buat alasan duti naik sedangkan duti kenaikan itu tidak setimpal dengan kenaikan harga rokok,” katanya yang percaya perisa rokok merupakan faktor utama pembelian produk rokok di pasaran.

Malah dengan adanya sistem online, peniaga akan lebih untung disebabkan pembelian akan dilakukan dtikan permintaan terhadap bekalan rokok masih tinggi. - Gambar hiasan">

Tambah Haris lagi, medium terbaru ini sebenarnya hanya menguntungkan satu pihak saja kerana menerusi online, banyak kos yang boleh dipotong.

“Walaupun kini ‘perang harga rokok; melanda, naik atau turun, pengguna tetap mempunyai bajet untuk membelinya. Dan kini, kesedaran pengguna itu lebih penting dan tahu mereka diperalatkan,” katanya.

Dalam pada itu, penjualan menerusi laman sesawang ini seolah membuka lembaran baru terhadap corak perniagaan pada zaman kini.

KEGIATAN penyeludupan yang masih wujud membuktikan permintaan
terhadap bekalan rokok masih tinggi. - Gambar hiasan


Menurut seorang pegawai akauntan di sebuah syarikat swasta, Kamal Azman, 35, trend penjualan seperti itu memang bagus namun ia perlukan satu garis panduan yang teliti dan praktikal.

“Kita tak boleh menafikan kewujudan dan keberkesanan perniagaan melalui laman sesawang malah ia telah terbukti di pasaran Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.

Di samping itu, beliau menyatakan pembelian rokok kini bukan bergantung kepada harga tetapi perisa yang ditawarkan.

Ujarnya lagi, mungkin dengan adanya penjualan melalui Internet, pemerolehan rokok secara terbuka dapat dibendung terutamanya bagi mereka yang di bawah umur.

“Hingga kini, kita gagal menangani gejala rokok kerana salah satu sebabnya ialah produk ini mudah didapati di kedai runcit serta pasar raya dengan harga mampu beli,”

“Sekiranya dijual melalui Internet, banyak prosedur perlu dilalui oleh pembeli dan mungkin transaksi hanya menggunakan kad kredit. Justeru, mungkin dengan cara ini boleh mengurangkan bilangan perokok muda,” katanya.

No comments:

kalendar


Myspace Calendars, Nature Calendars at WishAFriend.com