Saturday, November 15, 2008

perkara HALAL dan HARAM mempengaruhi DOA

Manusia adalah merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T. Maka, hubungan di antara manusia dan Allah S.W.T adalah saling berkait rapat. Manusia sangat memerlukan kepada bantuan, hidayah dan petunjuk daripada Allah S.W.T dalam menjalani kehidupan seharian sebagai hamba-Nya. Tanpa petunjuk dan bantuan tersebut, manusia tidak akan menemui jalan kebenaran, terus tenggelam dalam kesesatan dan kegelapan buat selama-lamanya.

Allah S.W.T telah menetapkan perkara-perkara yang halal dan haram bagi manusia, dalam mengharungi perjalanan sebagai hamba-Nya di muka bumi ini. Perkara yang haram sekiranya dilakukan oleh manusia, maka ia telah melangar perintah Allah Taala. Hubungannya dengan Allah S.W.T juga akan menjadi renggang dan semakin jauh daripada jalan kebenaran yang dibawa oleh utusan-Nya, Nabi Muhammad S.A.W.

Matan Hadith

Satu hadith daripada Nabi Muhammad S.A.W daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud;

Dari Abu Kuraib Muhammad bin al-’Ala’; dari Abu Usamah; dari Fudhail bin Marzuq; dari ’Adiy bin Tsabit; dari Hazim; dari Abu Hurairah katanya:

Rasulullah S.A.W bersabda: " Sesungguhnya Allah S.W.T itu baik, ia tidak terima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah S.W.T memerintahkan orang mukmin dengan apa yang ia perintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah berfirman: (( Wahai sekalian rasul!! Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah perkara yang baik. )) Dan Dia berfirman: (( Wahai sekalian orang beriman! Makanlah dari segala yang baik yang telah direzekikan kepadamu. )) Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, rambutnya kusut, mukanya berdebu menghulurkan dua tangannya ke langit: ”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya HARAM, dan mulutnya disuapkan dengan yang HARAM. Maka bagaimanakah akan diperkenankan (doanya) itu?

Sumber Hadith

Kitab Sahih Muslim, Bab Diterima Sedekah Dari Hasil Yang Baik, Juzuk ke-5, No. Hadith: 1686. Hlm, 192.

Pengajaran Hadith

Berdasarkan hadith diatas, kita boleh mengambil beberapa pengajaran. Antaranya ialah:

• Allah itu baik iaitu sempurna kejadian-Nya dan jauh dari sebarang keburukan serta kelemahan. Maka Dia tidak akan menerima dan menunaikan sesuatu permintaan hamba-Nya melainkan dari sesuatu yang baik dan menepati kehendak-Nya.

• Makanan dan minuman seseorang adalah sangat berhubungkait dengan ibadat dan doa. Ini kerana makanan yang baik akan mempengaruhi pertumbuhan jasmani yang baik. Begitu juga sebaliknya. Dalam maksud yang lain, makanan yang diambil adalah perkara yang berkaitan dengan ibadah dan tidak boleh dipisahkan.

• Segala makanan dan minuman yang haram akan menghasilkan pertumbuhan jasmani yang buruk dan negatif. Ia sekaligus menghijab dan menghalangi doa seseorang hamba kepada Tuhan-Nya.

• Doa orang yang menjaga makanan, minuman, dan perbuatannya dari perkara yang HARAM akan diperkenankan oleh Allah S.W.T.

• Allah memerintahkan orang-orang mukmin sama seperti apa yang diperintahkan-Nya kepada para rasul a.s. yang terdahulu. Ini menunjukkan Allah tidak membebani manusia dan memilih dalam perkara berkaitan dengan ketaatan kepada-Nya.

No comments:

kalendar


Myspace Calendars, Nature Calendars at WishAFriend.com