Wednesday, April 8, 2009

RAKYAT TELAH MEMILIH MEREKA

kebangkitan kuasa rakyat berterusan di 2 bukit!!!!!

Seperti yang dijangka, pakatan rakyat mengekalkan kerusi di Bukit Gantang (Pas) dan Bukit Gantang (PKR), manakala BN menang di Batang Ai. Melihatkan kepada isu dan situasi semasa kini, saya sudah menjangkakan keputusan bagi ketiga-tiga pilihanraya kecil tersebut akan diterjemahkan sepertimana yang diumumkan.



Di Bukit Gantang memperlihatkan PAS menang menewaskan calon BN dan bebas, bagi saya isu Kerajaan Perak dan krisis menteri besar masih lagi menjadi faktor kepada penterjemahan keputusan pilihanraya tersebut. Walaupun banyak isu lain yang dibawa untuk meyakinkan pengundi tetapi rakyat tempatan yang terlibat secara langsung dengan kedua isu besar itu telah membuktikan bahawa sokongan mereka masih lagi seperti yang berlaku pada pilihanraya umum ke-12 lalu dan bertindak untuk mengekalkan sokongan mereka sebelum ini.

Mungkin ada setengah pihak akan beranggapan bahawa Pas mendapat undi simpati dengan mempertaruhkan Datuk Seri Nizar, namun bagi saya soal calon bukan menjadi faktor undi simpati tetapi isu yang berlaku di Perak itu yang menjadi faktor utama dan watak Nizar dalam perkara ini adalah disebabkan strategi pihak Pakatan Rakyat yang berani mengambil risiko berdasarkan peluang yang terdapat pada pihaknya.

Pihak BN harus mengambil pengajaran dalam perkara ini, sesungguhnya krisis yang berlaku di Perak ketika ini seharusnya diselesaikan dengan cara yang berhemah. Rakyat sudah membuktikan bahawa apa yang berlaku ini tidak disenangi oleh mereka dan jika BN sudah merasa selesa dengan keadaan sekarang melalui apa yang telah diperolehi oleh mereka di Perak maka tidak mustahil pada pilihanraya umum ke 13 nanti akan memperlihatkan sekali lagi rakyat mengundi untuk Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Negeri dan seterusnya memerintah Perak.



Di Bukit Selambau, walaupun segala jentera dikerah untuk menawan kewasan tersebut, tetapi janji Menteri Besar Kedah yang mahu melantik calon PKR yang menang dalam pilihanraya itu ke jawatan Exco Kerajaan Negeri bagi saya telah menjadi faktor utama para pengundi memilih untuk mengangkat calon tersebut sebagai pemenang dengan harapan akan dapat memperjuangkan nasib rakyat tempatan secara berterusan dan berkesan melalui jawatan yang bakal disandangnya itu.

Media kerajaan seperti RTM dan media elektronik pro BN seperti TV3 sudah tidak releven lagi bagi membantu kempen BN ketika ini jika bentuk kempen yang dijalankan adalah seperti yang berlaku pada hari ini. Apa yang ditonjolkan bukan akan menarik perhatian para pengundi untuk mengundi BN tetapi bagi saya membuatkan rakyat semakin menyampah dan benci dengan propaganda sedemikian.

Disebabkan situasi itulah yang menjadi penyebab kenapa media alternatif di negara kita mendapat tempat dan menjadi rujukan utama masyarakat. Cara kempen tersebut seolah-olah memperbodohkan rakyat, sedarkan BN bahawa sekarang ini bukan seperti dahulu lagi yang menjadikan televisyen sebagai satu-satunya sumber untuk capaian maklumat. Jika BN mahu menjalankan kempen cara yang releven pada masa kini, ubahlah pendekatan yang memperbodohkan rakyat, bersainglah secara sihat dan gunakanlah peluang dan teknologi seiring dengan perkembangan minda masyarakat moden hari ini.

Sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menang dengan selesa di Sabah dan Sarawak, itulah yang berlaku di Batang Ai. Sumber maklumat yang terbatas serta capaian maklumat yang jauh berbeza daripada semenajung menjadi kekuatan kepada BN untuk berkempen. Di Sana segala yang diluahkan secara berdepan akan diterima terus oleh masyarakat tempatan dan mereka sukar untuk memperolehi sumber alternatif untuk menjadi rujukan yang popular pada masa kini.

Apa pun, tahniah kepada pihak yang telah menang. Kotakanlah apa yang dijanjikan, jadikanlah apa yang berlaku itu sebagai pengajaran. Sesungguhnya setiap kemenangan dan kekalahan yang diperolehi bukanlah mutlak untuk selama-lamanya, rakyat kini lebih berani berubah dan lebih bijak menilai yang mana baik berdasarkan situasi semasa yang dihadapi oleh mereka.

ayuh rakyat malaysia, sama2 kita bangkit!!!!!

No comments:

kalendar


Myspace Calendars, Nature Calendars at WishAFriend.com